Home

Mei 29, 2012

Trend Jilbab Masa Kini: Sanggul Tinggi Seperti Punuk Onta dan Pandangan Islam


Penjelasan 1:
Sanggul dalam keadaan biasa yang dibuat wanita untuk mengemaskan rambutnya untuk mengelak dari mengurai, tidaklah ada larangan Syarak terhadapnya asalkan ia tidak mendedahnya untuk tontonan orang ramai (selain suami, mahram dan sesama wanita) kerana rambut berada dalam kawasan aurat yang wajib ditutup.

Adapun sanggul yang dibuat untuk tujuan fesyen dan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain (yakni sekalipun berada di bawah tudung, tetapi menjadi tarikan kepada orang lain) dibimbangi wanita yang melakukannya tergolong dalam salah satu dari dua golongan ahli neraka yang disebut oleh Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- dalam hadis di bawah;عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ
 النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا
“Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu;
1. Kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya, dan;
2. Wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepadanya. Kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya di mana bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian sekian jauh”.(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-).[1] 


Dalam hadis di atas, Nabi mendedahkan dua golongan dari umatnya yang perlakuan mereka belum nampak pada zaman baginda akan tetapi akan muncul pada zaman selepas baginda, iaitu;
a) Golongan pertama; golongan yang suka mendera dan memeras orang-orang bawahannya (termasuk pemerintah-pemerintah yang zalim) di mana mereka diumpamakan Nabi seperti seorang tuan yang memegang cambuk dan memukul hamba bawahannya.
b) Golongan kedua; wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (yakni tidak menutup aurat dengan sempurna) di mana mereka cenderung kepada maksiat dan melakukan tindakan-tindakan yang mendorong orang lain kepada maksiat.

Di dalam hadis di atas, bukan larangan sanggul yang dimaksudkan oleh Nabi apabila menyebutkan “kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta…”, akan tetapi tujuan sanggul itu dibuat iaitulah untuk menarik perhatian orang lain kepada mereka di samping mereka mendedahkan sanggul itu untuk diperlihatkan kepada orang ramai. Ini dapat kita fahami dari keadaan mereka yang disifatkan Nabi dalam ungkapan sebelumnya “…berpakaian tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepada maksiat…”.

Menurut Imam an-Nawawi; maksud ungkapan Nabi “kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta” ialah mereka membesarkan rambut di kepala mereka dengan melilitnya dengan kain serban atau kain-kain lilitan yang lain (Syarah Soheh Muslim). Jelaslah kepada kita bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi dalam hadis di atas –berdasarkan tafsiran ulamak- ialah fesyen-fesyen yang dibuat pada rambut untuk tujuan menarik perhatian orang lain.

Wanita-wanita Islam wajib menjaga penampilan diri mereka agar jangan menimbulkan ghairah dan nafsu lelaki ajnabi walaupun dengan perbuatan yang hukum asalnya adalah harus. Sebagai contoh;
a) Suara wanita hukum asalnya tidaklah aurat (yakni harus diperdengarkan). Namun apabila suaru itu dimanja-manjakan (atau dialun-alunkan seperti nyanyian, nasyid dan sebagainya) maka ia menjadi aurat yang tidak boleh diperdengarkan kecuali kepada suami dan mahram sahaja. Firman Allah; “…janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)”. (al-Ahzab; 32)
b) Harus wanita memakai gelang kaki. Namun jika ia menghentak-hentakkan kakinya untuk memperdengarkan bunyi gelang kaki itu kepada orang lain (yang bukan suami dan mahramnya) atau ia memakai gelang kaki yang berloceng, maka hukumnya adalah haram sebagaimana larangan Allah dalam surah an-Nur (bermaksud); “Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka”. (ayat 31). Larangan ini mungkin boleh dikiaskan kepadanya kasut-kasut tumit tinggi yang dipakai oleh wanita hari ini di mana apabila ia berjalan, bunyi tapak kasutnya akan menarik perhatian orang lain untuk berpaling kepadanya.

Kesimpulannya, sanggul pada asalnya tidaklah dilarang, namun jika dibuat dengan tujuan untuk memperlihatkan keaadan sanggul itu di khalayak ramai atau untuk menarik perhatian mereka, ia adalah dilarang berdasarkan ayat al-Quran dan hadis di atas.
Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 14, bab an-Nisa’ al-Kasiyaat…
2. Fatawa wa Istisyaraat laman al-Islam al-Yaum (http://www.islamtoday.net), no. 16/158.
3. Al-Halal wa al-Haram, Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

Nota hujung;
[1] Berkata Dr. Yusuf al-Qaradhawi; “Rasulullah s.a.w. melalui pandangan ghaibnya seolah-olah melihat kepada zaman ini, zaman di mana terdapat kedai-kedai atau salun-salun khas untuk menggubah rambut wanita, mencantikannya dan mempelbagaikan fesyen-fesyennya. Biasanya kedai-kedai atau salun-salun ini diselia oleh lelaki-lelaki yang melakukan kerja mereka bagi mendapat upah atau bayaran. Bukan sekadar itu, malah ramai wanita yang tidak memadai dengan rambutnya yang sedia ada yang dianugerahkan Allah, maka mereka membeli pula rambut-rambut palsu. Rambut palsu ini mereka sambungkan dengan rambut asal mereka untuk kelihatan lebih ikal, bersinar dan cantik, supaya dengan itu diri mereka menjadi lebih menarik dan menggoda…”. (al-Halal wa al-Haram, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, halaman 84-85).

Penjelasan II

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud :
“Dua golongan di kalangan ahli neraka yang tidakkan aku pandang iaitu kaum yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu yang dengannya digunakan memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian bagaikan bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk membuat maksiat. Sanggul dikepala mereka ditusuk tinggi-tinggi seperti bonggol unta yang sangat lemah. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya sedangkan sesungguhnya bau syurga itu sudah boleh dicium dari jarak demikian dan demikian.”(Riwayat Muslim).

Sebenarnya ada beberapa tafsiran hadis ini terutama dalam masaalah sanggul wanita:

  • Hadis yang menyatakan seperti bonggol unta itu ditujukan kepada perempuan-perempuan yang tidak menutup aurat secara sempurna. Mereka memakai pakaian yang nipis-nipis mahupun ketat-ketat sehingga boleh menampakkan bentuk tubuh dan warna kulit. Pemakaian seperti ini adalah dilarang sama sekali oleh Islam terhadap para wanita kerana seolah-olah mereka semacam bertelanjang juga.
  • Sanggul rambut di kepala yang selalu para wanita memakainya bukanlah membawa maksud seperti hadis di atas secara mutlaknya. Boleh sahaja untuk memakai sanggul asalkan tidak mendedahkan aurat di hadapan lelaki bukan mahramnya.
Kesimpulan:
Wanita yang bersanggul tinggi yang tidak menutup aurat adalah dosa dan haram sepertimana dinyatakan oleh hadis di atas. Masalah ini beza dengan wanita yang bertudung, tetapi mempunyai sanggul tinggi di dalam tudungnya.

Masalah sanggul rambut tinggi seperti bonggol unta ini mestilah dilihat dari tujuannya. Kenapa disanggulkan rambut tersebut? Adakah ia untuk diperlihatkan kepada orang ramai? Adakah untuk menjadikan dirinya cantik? Atau sebagainya. Menurut saya, kalau sanggul tersebut dibuat adalah untuk kecantikkan dan diperlihatkan oleh orang yang bukan mahram, maka ia haram kerana ia menimbulkan fitnah dan menarik perhatian lelaki yang bukan mahram. Ini jelas bahawa wanita Islam hanya boleh menghiaskan dirinya untuk suaminya sahaja dan tidak boleh untuk orang lain. Malangnya wanita Islam sekarang ini tidak tahu maksud perhiasan yang dibenarkan dalam Islam. Ada wanita yang memakai pakaian biasa di rumah dan hadapan suaminya dengan alasan tidak bergaya disebabkan duduk di rumah sahaja, senang nak buat kerja rumah dan sebagainya. Tetapi apabila wanita tersebut keluar rumah dengan pakaian serba cantik dan memakai minyak wanginya hampir sebatu bauannya sehingga menarik perhatian orang lain. Inilah yang dikatakan haram walaupun niatnya betul dan berpakaian kemas dan cantik.

Sanggul tinggi adalah harus apabila tidak menarik perhatian orang lain dan tidak mempunyai niat-niat yang tidak baik sepertimana dinyatakan di atas. Awas!!! Jika sanggul tersebut dapat menarik perhatian orang bukan mahram dan boleh membangkitkan syahwat orang lelaki lain, maka ia menjadi haram dan perlu menukar teknik sanggulnya dari tinggi menjadi rendah. Harus bersanggul tinggi dihadapan suaminya atau berpakaian cantik dihadapan suaminya, kerana ini adalah suruhan agama berhias untuk keselesaan suaminya.
Jika dilihat dari trend orang sekarang ini berfesyen seperti sanggul tinggi dan fesyen tudung yang semakin hari semakin menjadi-jadi fesyen tersebut. Pendapat saya, jika fesyen tersebut tidak melanggar hukum Islam atau syariat Islam tidak menjadi masalah. Kalau ia melanggar syariat Islam walaupun bertudung, tetapi berpakaian ketat seolahnya bertelanjang sepertimana yang ada sekarang, maka itu menjadi haram.

Wallau’alam.

Sumber:
http://fitrahislami.wordpress.com/

Tidak ada komentar:

Posting Komentar